Isnin, 23 Februari 2009

KEMALANGAN DI TAPAK BINA

Setiap kemalangan yang berlaku adalah bersebab dan memberi kesan. Kemalangan ditakrifkan sebagai rujukan kejadian yang tidak dijangkakan atau tidak dirancang yang berlaku disebabkan oleh pelbagai punca yang memberi kesan ke atas tubuh badan (kecederaan atau penyakit) seseorang, kerosakan atau kemusnahan harta benda, kerosakan alam sekitar, kemalangan nyaris atau gabungan kesan-kesan tersebut.

Perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) menunjukkan kadar kemalangan di Tapak Bina adalah tertinggi berbanding di tempat kerja lain dan mengatasi sektor perkilangan/pengeluaran.

Kemalangan yang berlaku di Tapak Bina biasanya berpunca daripada sebab-sebab berikut :-

1. Kemalangan yang berpunca dari keadaan Tapak Bina yang tidak teratur kerana tidak dibuat house keeping.
2. Kemalangan yang berpunca dari mesin dan jentera di Tapak Bina.
3. Kemalangan yang berpunca daripada bahan kimia di Tapak Bina.
4. Kemalangan yang berpunca daripada pendawaian dan peralatan elektrik.
5. Kemalangan yang berpunca dari objek keras yang jatuh atau melayang.
6. Kemalangan yang berpunca daripada binaan perancah (scaffold).

KENAPA MASIH BERLAKU KEMALANGAN DI TAPAK BINA ?

Kenapa budaya kerja selamat dan sihat masih gagal di Tapak Bina di Malaysia ? Kenapa kemalangan di tapak bina yang menyebabkan kehilangan nyawa masih tinggi ? Fakta-fakta berikut adalah hakikat sebenar yang berlaku :-

1)
Kebanyakan Kontraktor, malah Perunding yang terdiri daripada Arkitek, Jurutera dan Jurukur Bahan menganggap keperluan melaksanakan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan di Tapak hanya bagi projek-projek bernilai melebihi RM 20 juta ke atas. Sebab itulah tiada peruntukan kos dimasukkan dalam Kontrak. Sedangkan Peraturan-Peraturan Kilang dan Jentera (Kendalian Bangunan dan Kerja-Kerja Binaan Kejuruteraan) (Keselamatan) 1986 menetapkan semua Kontrak pembinaan wajib melaksanakan Keselamatan Dan Kesihatan tanpa menetapkan had nilai sesuatu Kontrak. Cuma bagi Kontrak bernilai melebihi RM 20 juta dimestikan mempunyai Pegawai Keselamatan Dan Kesihatan (SHO) sepenuh masa di Tapak Bina. Bagi nilai Kontrak yang kurang daripada itu Kontraktor dimestikan menempatkan SHO sekurang-kurangnya 15 jam seminggu di Tapak Bina.

2)
Bagi kerja pemasangan perancah pula, ia tidak dilaksanakan oleh pekerja yang terlatih, sebaliknya oleh pekerja am. Manakala kerja-kerja pemasangan perancah itu tidak diselia oleh Pemasang Perancah Kompeten (berdaftar). Sebab itulah banyak didapati dimana-mana sahaja perancah dibina tidak mematuhi Peraturan.

3)
Penyeliaan kerja tidak dibuat oleh Jurutera Profesional. Jurutera Profesional yang bertanggung jawab terhadap perlaksanaan sesuatu projek itu menyerah bulat-bulat kepada Kontraktor. Sepatutnya Jurutera Profesional itu turut memikul tanggungjawab kerana mereka dibayar fee oleh client untuk pertanggungjawaban bagi keselamatan keseluruhan projek.