Selasa, 10 Mac 2009

2 MAUT KABEL KREN PUTUS


2 BURUH MAUT KABEL KREN PUTUS

KUALA LUMPUR: Dua pekerja binaan warga negara Bangladesh maut di tapak pembinaan di sini, petang semalam selepas kabel kren mengangkat tong berisi bahan binaan terputus dan menghempap mangsa di Menara UOA, Bangsar. Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang, seorang daripada mangsa pecah kepala manakala rakannya hancur sebahagian anggota badan dan bertaburan beberapa meter di tempat kejadian.
Jurucakap polis berkata, kedua-dua mangsa berusia lingkungan 30 hingga 40-an dikatakan melakukan kerja di tapak pembinaan di bawah bangunan itu.

“Kabel sebuah kren yang mengangkat bahan binaan di tingkat 22 menggunakan tong tiba-tiba terputus dan menghempap kedua-dua mangsa yang mati serta-merta di tempat kejadian. “Polis dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) bergegas ke tempat kejadian dan mengambil masa kira-kira setengah jam mengutip cebisan mayat mangsa sebelum dihantar ke hospital berdekatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut.

(Berita Harian Isnin 8 Mac 2009)