Isnin, 7 Disember 2009

TRAGEDI KB MALL BOLEH DIELAK


KB MALL BOLEH DIELAK

Dua orang maut manakala dua orang lagi cedera parah dalam insiden yang berlaku pada pukul 5 petang di KB Mall, di Kota Bharu kelmarin. Dalam kejadian itu sebuah kereta yang dipandu oleh seorang gadis berusia 19 tahun, secara tiba-tiba hilang kawalan telah merempuh tembok bangunan seterusnya terjatuh ke atas eskalator di tingkat bawah bangunan kompleks beli belah yang terbesar di Pantai Timur itu.

Dalam kes ini seperti juga dalam kebanyakan kes lain, kecuaian adalah menjadi faktor. Pihak Polis dan juga Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) adalah pihak berwajib yang menyiasat kejadian itu.

Daripada gambar yang dipaparkan di dada-dada akhbar dan juga televisyen, saya ada kesimpulan tersendiri. Tragedi berkenaan boleh dielakkan sekiranya pihak pengurusan KB Mall mengambil langkah pencegahan yang sepatutnya. Kereta berkenaan mungkin tidak jatuh terjunam ke bawah sekiranya dinding ruang udara (air well) di kompleks membelibelah itu dibina daripada konkrit bertetulang. Apa yang dilihat dinding itu cuma dinding batu bata setebal 150 milimiter sahaja di mana ianya tidak menepati spesifikasi binaan yang sepatutnya bagi tembok penghadang di aras tinggi sesuatu bangunan.

Dalam hal ini, pihak perunding rekabentuk seperti arkitek dan jurutera mesti turut bertanggungjawab terhadap tembok penghadang itu. Pihak berwajib juga perlu menyiasat kemungkinan berlaku perubahan spesifikasi kerja oleh kontraktor semasa kerja-kerja pembinaan sedang berjalan atau binaan yang melencong daripada pelan yang sudah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.