Selasa, 23 September 2008

UTAMAKAN KESELAMATAN SEMASA BALIK KAMPUNG

Utamakan Keselamatan Semasa Balik Kampung
Oleh Mohamad Bakri Idrus

MELAKA, 23 Sept (Bernama) -- Bagi anak perantau, pelajar atau pekerja, lambaian desa kian meruntun perasaan untuk pulang bertemu ayah, ibu dan sanak saudara di penghujung Ramadan ini, menjelang Aidilfitri.Bagi mereka yang mempunyai kenderaan sendiri, minggu ini adalah yang terbaik untuk ke bengkel servis kenderaan, nasihat seorang penyampai radio melalui rancangan paginya, bagi memastikan kenderaan yang akan dipandu nanti dalam keadaan baik dan selesa, selain itu eloklah dirancang perjalanan bagi mengelakkan keadaan tergesa-gesa dan mengelakkan kesesakan di jalan raya.Kira-kira 1.4 juta kenderaan dijangka berada di atas jalan raya sehari sebelum cuti Raya iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding kepadatan trafik 700,000 hingga 800,000 kenderaan sehari pada hari biasa.Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Keat dilaporkan berkata peningkatan berganda kenderaan yang menyebabkan jalan padat dan sesak akan mengundang pelbagai kerenah, sikap dan masalah pemandu, yang boleh membawa risiko kemalangan jalan raya.PENGANGKUTAN AWAMMereka yang memilih pengangkutan awam seperti bas dan kereta api, tentunya awal-awal lagi telah membeli tiket. Ramai juga yang suka membeli di saat-saat akhir dan bersesak di kaunter tiket.Yang masih tidak mahu berputih mata akan termakan umpan "ulat tiket" yang berkeliaran mencari mangsa dengan jualan tiket lebih mahal, dan jika nasib tidak baik wang lesap, bas tidak datang.Kerajaan telah membenarkan syarikat bas ekspres mengambil bas tambahan bagi mengelakkan orang ramai kempunan untuk balik kampung.Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) menyediakan 2,000 permit bas tambahan untuk dipohon syarikat bas di seluruh negara menjelang musim perayaan ini.Antara syarat kelulusan permit bas tambahan itu ialah usia bas sekolah perlu bawah 12 tahun untuk perjalanan tidak melebihi 300 km sehala. Bas itu juga tidak mempunyai lebih 10 saman trafik atau saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dilaporkan menyediakan sebanyak 50,984 keping tiket untuk pelbagai kelas bagi semua sektor perjalanan merangkumi Utara, Pantai Timur dan Selatan bermula 24 hingga 30 Sept ini.GHAIRAH UNTUK BALIK KAMPUNGDalam keghairahan orang ramai pulang ke kampung, faktor penting yang perlu diambil berat ialah keselamatan di jalan raya supaya perjalanan selamat dan keluarga tersayang di kampung tidak menanti dalam tangisan.Selain media massa, pelbagai pihak lain tampil dengan bermacam-macam kempen kesedaran mengenai keselamatan jalan raya kepada pengguna.Semuanya dengan matlamat sama iaitu untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.Di sepanjang jalan raya dan lebuh raya, kelihatan pelbagai peringatan dan nasihat diletakkan pada papan tanda untuk pemandu -- "Jangan Biarkan Keluarga Anda Menanti Dalam Tangisan" "Pandu Cermat Jiwa Selamat" "Patuhi Had Laju" "Bersopan Di Jalan Raya" "Kawasan Perangkap Had Laju" dan lain-lain.Realitinya, ramai yang tidak menghiraukan nasihat dan amaran pada papan tanda berkenaan dan ada sesetengah pemandu menjadi samseng jalan raya semata-mata untuk cepat sampai ke kampung.Daripada gaya samseng mereka hanya akan tiba-tiba bertukar menjadi pemandu berdisiplin dan berhemah apabila melihat anggota polis trafik.SAMAN MAKSIMUMTidak cukup dengan nasihat, amaran saman maksimum RM300 menanti pemandu yang melakukan enam kesalahan trafik serius sepanjang 15 hari Ops Sikap Ke-17 Aidilfitri.Enam kesalahan yang dikategorikan serius itu ialah memandu melebihi had laju, terbabit dalam kemalangan jalan raya, melanggar lampu isyarat merah, memotong di garisan berkembar, memotong barisan dan menggunakan lorong kecemasan.Polis berharap Ops Sikap itu, yang menggunakan pendekatan penguatkuasaan kreatif, termasuk menumpukan kepada memberi nasihat, mampu mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya sepanjang cuti Aidilfitri. Hari Raya mengikut perkiraan jatuh pada 1 Okt.Pendekatan baru Ops Sikap Ke-17 yang bakal bermula esok hingga 8 Okt dan membabitkan 5,000 anggota trafik, diharap mengubah sikap orang ramai mengutamakan keselamatan dan sayangkan nyawa dan keluarga ketika di jalan raya.Pendekatan itu juga akan mengenal pasti lebih banyak kawasan kemalangan dan memberi tumpuan meningkatkan pengawasan di kawasan terbabit.Jangan sesekali memandu dalam keadaan mengantuk. Berhenti dan berehatlah di tempat sesuai dan selamat. Bagi pengguna Lebuh raya Utara-Selatan (Plus), mereka disediakan pelbagai kemudahan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) seperti medan selera, surau dan tandas.Pihak berkuasa juga melarang kenderaan berat berada di jalan raya antara 27 Sept hingga 28 Sept dan antara 4 Okt hingga 5 Okt ini, bagi melancarkan pergerakan lalu lintas dan mengatasi masalah kesesakan jalan raya ,sebelum dan selepas sambutan Aidilfitri.Kenderaan berat yang dikenakan sekatan termasuk lori balak, lori pengangkut bahan binaan, lori pembancuh simen dan jentera berat seperti kren.Bagaimanapun larangan itu tidak melibatkan lori yang membawa bahan bakar, bekalan perubatan dan industri serta lori membawa barang keperluan harian.TIPS UNTUK PENUNGGANG DAN PEMBONCENG MOTOSIKALSetiap kali musim perayaan, penunggang dan pembonceng motosikal adalah pengguna jalan raya yang paling berisiko mendapat kemalangan iaitu 30 kali ganda berbanding bas dan 17 kali ganda berbanding kereta.Oleh itu, seboleh-bolehnya pemilik motosikal dinasihati menaiki kenderaan alternatif semasa balik kampung musim cuti ini.Jika terpaksa juga menaiki motosikal, berikut beberapa tip yang diberikan seorang pegawai Majlis Keselamatan Jalan Raya, sebagai panduan mengelakkan nahas jalan raya dalam kalangan penunggang dan pembonceng motosikal:* Pastikan motosikal dan individu berada dalam keadaan baik dan segar serta tahap kesihatan yang bagus.* Pastikan mereka dapat dilihat oleh pemandu lain. Ini boleh dilakukan dengan memakai pakaian cerah, vest pantul cahaya dan lampu depan belakang dipasang pada waktu siang dan malam.Kaedah ini amat berguna kerana ia boleh meningkatkan kadar kebolehlihatan sehingga mencapai 200 peratus dari segi jarak jauh dan pantulan.* Pakai topi keledar yang dipasang dengan betul dan disahkan piawaiannya atau memakai topi yang lebih selamat seperti topi keledar bertutup penuh, jaket kulit, kasut dan pakaian kalis cedera.Pandu Cermat Jiwa Selamat. Anda Mampu Mengubahnya.

SELAMAT HARI RAYA-- BERNAMA

Ahad, 29 Jun 2008

Aspek keselamatan di Malaysia terjamin?

Aspek keselamatan di Malaysia terjamin?
oleh : Ustaz Zainuddin Hashim (27 Jun 2008)

Keselamatan, keamanan dan keharmonian hidup adalah menjadi idaman warga manusia di dunia tanpa mengira asal usul keturunan, derajat kedudukan, pangkat, umur, jantina, kerana ia adalah sesuatu yang dianugerahkan Allah kepada semua termasuk hamba-hambanya yang bukan Islam.

Sesungguhnya Allah tidak membiarkan manusia hidup dalam keadaan tertekan, dihimpit dengan pelbagai masalah, justeru Dia mengutus para Rasul ke dunia ini adalah untuk membawa manusia sejagat menikmati keselamatan dan keamanan dengan Islam, kerana Islam membawa maksud keselamatan.

Begitu juga ketegasan baginda Rasulullah s.a.w ketika mengutus para utusan ke beberapa buah negara pada awal siri dakwah Islam terhadap Raja Mesir, Kaisar, Raja Parsi dan lain-lain dengan kata-kata: Aslim taslam ? iaitu apabila kamu masuk Islam pasti selamat.

Sehubungan itu, Allah ada menegaskan menerusi ayat 96-99 surah al-?Araf yang bermaksud: "Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk (sesebuah) negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab siksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.(96)
"Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? (97)
"Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? (98)

"Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi."(99)
Ayat di atas cukup jelas menunjukkan bahawa Allah boleh mendatangkan apa sahaja masalah kepada manusia hingga hilangnya rasa aman dalam diri, sama ada sedang tidur di waktu malam, atau sedang mengurus program hidup di waktu siang hari.

Namun bagi orang yang sentiasa berhubung dengan-Nya sepanjang masa dengan melakukan solat serta amal-amal solih, pasti mampu mengecapi keamanan dan keselamatan, tetapi sebaliknya apabila manusia meninggalkan suruhan-Nya, pasti akan menanggung akibat daripada keengganannya untuk berbuat demikian.

Fenomena jenayah kikis rasa selamat di kalangan rakyat

Sejak akhir-akhir ini, kecenderung sesetengah pihak untuk terlibat melakukan jenayah amat membimbangkan banyak pihak, kerana ia menyebabkan ketidaktenangan di kalangan manusia yang sentiasa mahukan hidup mereka dibayangi dengan keselamatan dan keamanan mutlak.
Isu penculikan di kalangan budak perempuan semakin menjadi-jadi, ia digemparkan dengan kehilangan adik Nurin Jazlin pada 2007 yang akhirnya disahkan mati, diikuti dengan kehilangan adik Syarlinie Mohd Nashar pada Januari 2008 yang masih menjadi tanda tanya banyak pihak yang masih belum dirungkai.

Kejadian kehilangan seumpama itu tidak terhenti setakat kehilangan kedua-dua adik berkenaan, akan muncul selepas ini beberapa kejadian lain yang kesemuanya memperlihatkan kegagalan pihak berkuasa untuk membendung jenayah yang menyebabkan orang ramai semakin gusar tidak keharuan.

Pemilik-pemilik restoran seperti dilaporkan akhbar arus perdana mati ditetak di hadapan premis sendiri, kejadian rogol di kalangan murid dan pelajar sekolah rendah dan menengah berlaku pada tahap yang amat membimbangkan golongan para ibu bapa, khususnya anak-anak perempuan mereka yang akan duduk dalam peperiksaan penting seperti UPSR, PMR, SPM, STPM, STAM dan lain-lain, juga di peringkat institut pengajian tinggi.
Semua kejadian di atas menyaksikan betapa rapuhnya keselamatan dalam negara ini, ia merupakan satu nikmat yang seakan mula ditarik dari diri manusia, apabila keselamatan tidak lagi terjamin, berbagai-bagai kemungkinan akan berlaku di kalangan manusia hingga terdapat anak gadis lari daripada rumah meninggalkan kedua-dua ibu dan bapa akibat ditipu tunang yang enggan meneruskan hasrat untuk berumahtangga.

Jika tahap keselamatan tidak lagi menjadi agenda penting dalam kehidupan bermasyarakat, apakah kedudukan golongan wanita dalam negara ini akan selamat jika mereka pulang bekerja di waktu malam dengan menaiki kenderaan keseorangan, mungkin juga ketika menaiki lif terdedah kepada bahaya menjadi mangsa rogol, ragut dan sebagainya?.
Apabila keselamatan hilang daripada realiti kehidupan manusia, ia menandakan bahawa Allah s.w.t mula menampakkan kemarahan-Nya dan sedikit demi sedikit menghukum manusia atas perbuatan dan tindakan mereka yang menyalahi ketentuan-Nya.
Firman Allah dalam ayat 41 surah ar-Rum yang bermaksud: "Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."

Walau bagaimanapun jika manusia akur terhadap kesalahan yang pernah mereka lakukan di dunia ini, maka Allah s.w.t akan menukarkan rasa takut, rasa tidak selamat dan aman yang menjadi trauma kepada satu suasana yang menceria dan membahagiakan mereka, dengan syarat manusia mesti beriman, bertakwa dan beramal solih kepada-Nya.
Firman Allah menerusi ayat 55 surah an-Nur maksudnya: "Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal solih dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad), bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguat dan mengembangkan agama mereka (Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan/keselamatan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka."

Kenaikan harga minyak dan barangan juga dikenal pasti melonjakkan lagi rasa tidak tenang dan selamat di kalangan rakyat yang sering dihimpit dan menanggung beban kedangkalan pihak berkuasa yang tidak mengurus tadbir negara berasaskan elemen al-Quran dan sunnah baginda Rasulullah s.a.w yang akhirnya menjadi golongan merempat di negara sendiri.

(sumber : harakahdaily.net)

Sabtu, 14 Jun 2008

SHO Terima Anugerah Di Konvokesyen UM

Hari ini 14 Jun 2008 seramai 39 orang telah dianugerah Diploma Profesional Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaya (UM) bertempat di Dewan Tuanku Canselor.

Sekalung tahniah kepada Lef. Kol. Dr. Redzuan, Puan Aishah, Saudara Khairi (Penghulu), Khairi Yamaha, Khairi Temerloh, Puan Suhana, Saudara Deva Dass dan Saudara Wan Mohd Saufi kerana telah lulus cemerlang.

Penulis termasuk termasuk salah seorang dari mereka yang cemerlang itu !
Pass With Distinction.

Jumaat, 13 Jun 2008

SYURGA TEMPAT YANG SELAMAT

JALAN KE SYURGA

"Barangsiapa berupaya mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke surga". [H.R. Muslim]

Demikian pula, Allah subhanahu wa ta'ala berjanji:

"Allah menganugerahkan Al-Hikmah (pemahaman yang mendalam tentang Al-Qur'an dan As-Sunnah) kepada siapa saja yang Dia kehendaki. Dan barangsiapa yang dianugerahi Al Hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah)." [Al-Baqarah:269]

"...... Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.......... ." [Al Baqarah:185]

"Katakanlah: "Hai kaumku, berbuatlah sepenuh kemampuanmu, sesungguhnya aku pun berbuat (pula). Kelak kamu akan mengetahui, siapakah (di antara kita) yang akan memperoleh hasil yang baik dari dunia ini....'." [Al An'aam:135]

"... Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang, melainkan (sekadar) apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan." [Ath Thalaaq:7]

Semoga Allah subhanahu wa ta'ala mencatat niat dan ikhtiar kita semua dalam menuntut ilmu sebagai amal soleh.

Wassalamu'alaikum warahmatullah wabarakatuh,

Khamis, 12 Jun 2008

Majlis Pelancaran Buku Panduan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan Di Sekolah


Pelancaran Buku Panduan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan Di Sekolah
Artikel saya bertajuk "Sekolah Yang Selamat" dalam blog ini adalah petikan daripada Kertas Kajian saya bertajuk "Merekabentuk Bangunan Sekolah Yang Selamat Bagi Murid-Murid Sekolah Rendah". Kajian tersebut adalah kerana menyedari bahawa Program Sekolah Selamat yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tidak mencapai matlamat sebenar serta tidak mematuhi peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994).
Walaupun kajian saya mengenai keselamatan di sekolah rendah tetapi saya itu telah merumuskan bahawa sudah tiba masanya AKKP 1994 dilaksanakan di kesemua sekolah di Malaysia termasuk sekolah menengah. Kajian saya telah siap sepenuhnya pada 20 Mei 2008.
Semalam, 11 Jun 2008 bertempat di Sekolah Kebangsaan Seri Gombak 2, Kerajaan telah melancarkan Buku Panduan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan Di Sekolah . Lihat petikan Berita Harian hari ini di bawah.

Seminar, kursus tidak lagi di hotel

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia mengambil inisiatif mengurangkan kos operasi dengan mengehadkan penganjuran seminar dan kursus kepada kakitangan di hotel, sebaliknya mengadakannya di jabatan masing-masing. Timbalannya, Datuk Noraini Ahmad, berkata langkah proaktif itu bagi memastikan wang yang diperuntukkan untuk bayaran hotel boleh diagihkan untuk kebajikan kakitangan atau perbelanjaan lain. “Hanya tempat yang berubah, modul pembelajaran masih sama. Langkah ini perlu untuk memberi ruang kepada kementerian memperuntukkan wang kepada perkara yang mendatangkan kebaikan kepada pekerja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Panduan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan Di Sekolah, di Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak 2, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Datuk Lee Lam Thye; Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran, Zulkifly Mohd Wazir dan Pengurus Bahagian Perubatan dan Kesihatan Pekerjaan Exxonmobil Exploration (Exxonmobil), Dr Abu Hasan Samad. Pada majlis itu, Exxonmobil turut menyampaikan cek berjumlah RM29,000 kepada tujuh sekolah yang ditajanya sebagai peruntukan untuk cetakan buku panduan dan papan tanda keselamatan bagi keperluan pelajar sekolah terbabit. Ketika ditanya sama ada tindakan mengurangkan penganjuran seminar akan menjejaskan pendapatan kepada pihak perhotelan, Noraini tidak bersetuju kerana hotel berkait rapat dengan bidang pelancongan.

“Saya percaya pihak pengurusan hotel akan mencari alternatif untuk meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Sementara itu, Noraini berkata, sebanyak 1,500 buku panduan yang dilancarkan itu akan diedarkan kepada pelajar sekolah di tujuh sekolah tajaan Exxonmobil bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan mereka yang bekerja di sekolah termasuk guru, kakitangan sekolah dan pekerja kantin.Katanya, tahap kesedaran keselamatan dan kesihatan di sekolah meningkat setiap tahun dan projek yang sudah diadakan sejak 2002 itu diharap dapat mengurangkan kadar kemalangan dengan sasaran sifar kemalangan.

(sumber : Berita Harian 12 Jun 2008)

Rabu, 11 Jun 2008

MISKIN PUNCA RENTUNG

Miskin punca rentung -- Tidak mampu bayar bil elektrik sebabkan 5 beranak maut
Oleh SUNARTI KIBAT

KLUANG 9 Ogos – Pasangan suami isteri yang terkorban bersama tiga anak mereka dalam satu tragedi kebakaran di Kampung Tengah di sini awal pagi ini merupakan ayah dan ibu yang hidup dalam kesempitan kerana sebahagian besar pendapatan mereka digunakan untuk menyara keluarga dan membiayai pendidikan anak-anak.
Si suami, Kasmuri Jasman, 44, ialah seorang pekerja sebuah kilang mozek di sini dengan gaji yang sederhana.
Isterinya, Sufiah Abdul Karim, 41, pula seorang suri rumah tangga.
Bergaji hanya RM1,800 sebulan, Kasmuri menyara anak-anaknya seramai tujuh orang dengan tiga daripadanya sedang menuntut di institusi pengajian tinggi.
Mereka sekeluarga tinggal di rumah sewa dua bilik dengan kadar sewa RM200 sebulan.
Pemilik rumah yang disewanya, Jaliah Osman, 60-an, berkata, Sufiah pernah mengadu keluarganya kesempitan wang.
Lima hari lalu bekalan elektrik ke rumah itu dipotong kerana Kasmuri tidak dapat menjelaskan tunggakan bil sebanyak RM800.
“Kasmuri menggunakan sebahagian besar daripada wang yang dimiliki untuk membiayai tiga anaknya yang sedang menuntut di pusat pengajian tinggi,” kata Jaliah.

Jiran-jirannya percaya kebakaran pada pukul 3.30 pagi di rumah Kasmuri dan Sufiah di Lorong Osman Mohamad Salleh, Kampung Tengah di sini berpunca daripada api lilin.
Sejak lima hari lalu keluarga itu menggunakan api lilin untuk menerangi rumah.
Dalam kebakaran itu, Kasmuri, Sufiah serta dua anak lelaki mereka, Hishammuddin, 13 dan Izwanuddin, 9, dijumpai rentung bersama anak perempuan, Nurul Macella, 8.
Seorang lagi anak perempuan mangsa, Norfarhana Kasmuri, 15, terselamat kerana sempat melarikan diri melalui pintu depan dan kemudian menjerit meminta tolong.
Semasa kejadian, tiga daripada tujuh anak Kasmuri tidak berada di rumah kerana menuntut di tiga institusi pengajian tinggi tempatan iaitu anak sulungnya, Faezah, 20, di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang; Salahuddin, 19, pelajar jurusan kejuruteraan elektrik di Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM), Batu Pahat dan Juliana, 18, pelajar kolej matrikulasi di Pulau Pinang.
Menurut Jaliah, keluarga itu yang menyewa di situ sejak 12 tahun lalu memang rapat dengannya dan dianggap saudara sendiri.
Hamzah Md. Said, 52, dan isterinya Jim Alias, 55, yang berjiran dengan Kasmuri memberitahu, keluarga lelaki itu menggunakan lilin sejak lima hari lalu selepas bekalan elektrik di rumah tersebut dipotong.
‘‘Yang saya tahu mereka memang menggunakan api lilin sebab bekalan elektrik dipotong. Kenapa dipotong tidak pula saya tahu,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang di sini.
Hamzah merupakan jiran rapat kepada Kasmuri dan keluarganya yang terkorban dalam kebakaran rumah batu separuh papan itu.
Mayat Kasmuri ditemui dalam sebuah bilik air manakala Hishammuddin dijumpai di bilik lain yang terletak bersebelahan.
Mayat Sufiah pula ditemui bersama-sama dua lagi anaknya, Izwanuddin dan Nurul Macella, di pintu bahagian belakang rumah sewa tersebut. Turut musnah dalam kebakaran itu ialah sebuah kereta Wira Aeroback milik mangsa yang diletakkan di lorong sebelah kiri rumah tersebut.
Kebakaran itu disedari oleh Hamzah dan isterinya apabila mereka terdengar jeritan minta tolong daripada anak mangsa yang terselamat.
Sewaktu kejadian, Hamzah, isteri dan cucunya tidur di ruang tamu yang terletak di bahagian hadapan rumahnya yang berkembar dengan rumah Kasmuri yang terbakar.
Pegawai Operasi Bomba Kluang, Zahari Hassan memberitahu, bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.57 pagi dan tiba di tempat kejadian 48 minit kemudian.
Sementara itu, isteri Hamzah, Jim menyifatkan dia dan suaminya bagaikan diberi nyawa baru kerana terselamat dalam kejadian tersebut gara-gara mereka memilih untuk tidur di ruang tamu dan tidak di dalam bilik seperti kebiasaan.
Jim berkata, seandainya mereka tidur di bilik tidur tersebut dia dan suaminya mungkin turut terkorban bersama-sama keluarga Kasmuri dan Sufiah.
___________________________________
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.E-mail: online@utusan.com.my



4 beradik tidak mahu berpisah
Oleh: SUNARTI KIBAT

KLUANG 10 Ogos – Empat beradik yatim piatu yang hilang lima ahli keluarga termasuk ibu dan ayah dalam tragedi kebakaran rumah di Kampung Tengah di sini semalam bertekad tidak mahu dipisahkan.
Faezah Noor, anak sulung pasangan Allahyarham Kasmuri Jasman, 44, dan Sufiah Abdul Karim, 41, memberitahu, buat sementara waktu mereka akan tinggal bersama datuk sebelah ibunya, Abdul Karim Tahir, 78, di Kampung Belahan Tampok, Rengit dekat sini.
Bagaimanapun, menurut Faezah, adik perempuannya, Norfarhana, 15, yang terselamat dalam kebakaran yang mengorbankan bapa, ibu, dua adik lelaki dan seorang adik perempuannya perlu membuat pilihan sama ada mahu terus tinggal bersama datuknya.
Katanya, beliau ingin melihat dahulu perkembangan Norfarhana yang masih dalam keadaan trauma serta kini tidak mahu makan dan bercakap.
‘‘Adik saya ini (Norfarhana) yang bersekolah di Kluang dan akan mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) memberitahu, kalau boleh dia mahu tinggal berdekatan dengan saya.
“Ada kemungkinan kami akan memilih tinggal dengan mak cik kami di Putrajaya,” kata Faezah yang sedang menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Selangor.
Selain Faezah, dua lagi adiknya juga sedang menuntut di pusat pengajian tinggi tempatan iaitu Salahuddin, pelajar kejuruteraan elektrik di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Parit Raja dekat sini dan Juliana, 18, pelajar sebuah kolej matrikulasi di Pulau Pinang.
Keempat-empat adik-beradik itu yang berada di rumah datuk mereka di Rengit hari ini tidak putus-putus menerima kehadiran tetamu yang bersimpati dengan nasib mereka.
Dalam kebakaran yang berlaku pada pukul 3.30 pagi semalam, lima anggota keluarga mereka terkorban. Kebakaran itu dipercayai berpunca daripada api lilin.
Jiran-jiran keluarga itu mendakwa ibu mereka, Sufiah pernah mengadu keluarganya kesempitan kerana wang banyak dibelanjakan untuk membiayai pendidikan anak-anaknya.
Lima hari lalu bekalan elektrik ke rumah itu dipotong kerana suaminya, Kasmuri, tidak dapat menjelaskan tunggakan bil sebanyak RM800.
Sejak itu mereka sekeluarga menggunakan lilin dan api lilin itu dikatakan menjadi punca kebakaran tersebut.
Sementara itu, datuk anak-anak yatim itu, Abdul Karim, yang mempunyai lebih 50 orang cucu menyatakan kesanggupan untuk membela dan menyayangi cucu-cucunya walaupun dirinya sudah tua.
Beliau berkata, selama ini pun beliau amat mengambil berat kebajikan cucu-cucunya itu.
‘‘Saya juga tidak kisah jika mereka memilih untuk tinggal dengan anak perempuan saya di Putrajaya,” katanya.
Abdul Karim kelihatan tenang dengan kehilangan anak perempuannya, Sufiah, suaminya, Kasmuri, dan tiga cucunya dalam kebakaran itu. Beliau menganggap kejadian itu adalah ketentuan Allah dan ada hikmah di sebaliknya.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri Rengit, Ayub Jamil memberitahu Utusan Malaysia, Norfarhana, iaitu satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kebakaran itu, bersama tiga lagi jiran yang duduk bersebelahan rumahnya akan dijadikan anak angkat kawasan dewan undangan negeri tersebut.
Beliau berkata, Norfarhana yang menunjukkan kecemerlangan dalam akademik juga akan dibantu dari segi persekolahannya.
‘‘Saya akan berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Pembangunan Masyarakat negeri, Dr. Robiah Kosai mengenai bentuk bantuan yang sesuai diberikan kepada mereka,” katanya.
Sementara itu, Pembantu Hal Ehwal Islam, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Ferhan Mohd. Sungip ketika menyampaikan bantuan kecemasan wang tunai RM1,000 dan bahan-bahan makanan kepada mangsa terbabit memberitahu, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) akan mengadakan mesyuarat pada Isnin ini bagi membincangkan bentuk bantuan yang wajar diberikan kepada mereka.

© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.E-mail: online@utusan.com.my

Petikan OSHA 1994


PETIKAN AKTA KESELAMATAN & KESIHATAN PEKERJAAN

Seksyen 4 - Objektif

• Melindungi keselamatan, kesihatan & kebajikan pekerja di tempat kerja
• Melindungi orang lain yang berada di tempat kerja
• Menggalakkan suasana kerja yang selamat dan sihat yang bersesuaiandengan psikologi dan fisiologi manusia
• Menjadikan keselamatan dan kesihatan sebagai satu budaya kerja yang praktis dan standard yang boleh digunapakai di dalam sistem pengurusan dan operasi sesuatu organisasi.

Seksyen 15(2) - Tanggungjawab Majikan

• Mengadakan dan menyenggara setakat yang praktik tempat kerja dan sistem kerja yang selamat
• Menyediakan kaedah atau cara yang boleh menjamin keselamatan dan kesihatan semasa pengendalian, penggunaan, simpanan dan pengangkutan bahan
• Memberi maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan
• Mengada dan menyenggara laluan masuk dan keluar dari tempat kerja adalah selamat
• Mengada persekitaran kerja yang selamat dengan menyediakan kemudahan bagi kebajikan pekerjanya

Seksyen 24(1) - Tanggungjawab Pekerja

• Mengambil perhatian bagi mengelakkan sebarang bencana yang mungkin boleh berlaku ke atas dirinya atau orang lain akibat kerjanya
• Bekerjasama dengan majikan dalam sebarang perkara keselamatan, kesihatan dan kebajikan
• Mengguna dan memakai alat perlindung keselamatan diri
• Mematuhi apa-apa arahan atau peraturan yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan

Seksyen 30 - Penubuhan Jawatankuasa Keselamatan & Kesihatan (JKK)

• Majikan mesti menubuhkan JKK apabila terdapat pekerja 40 orang atau lebih atau jika diarahkan berbuat demikian oleh Ketua Pengarah JKKP
• Komposisi JKK merujuk kepada Peraturan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan 1996
• Majikan mesti bekerjasama dengan JKK bagi memastikan tempat kerja adalah selamat dan sihat
• Kegagalan mematuhi seksyen ini boleh dikenakan denda tidak lebih RM 5,000 atau penjara enam (6) bulan atau keduaduanya sekali.