Isnin, 19 Januari 2009

(Artikel saya ini telah diterbitkan dalam Berita Hari 12 September 2008)

KESELAMATAN DI KEM PLKN

Kejadian kejadian tanah runtuh di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sri Mutiara, Balik Pulau, Pulau Pinang Selasa lalu mengejutkan banyak pihak. Lebih mengejutkan apabila Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Datuk Zainal Rahim Seman berkata kem tersebut dibina tanpa kelulusan pelan, malah pelan tidak pernah dihantar untuk kelulusan MPPP.

Saya tidak terkejut, malah mungkin anda semua lebih terkejut kalau saya katakan bahawa kesemua kem PLKN diseluruh negara tidak mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Saya berkeyakinan sebegini kerana sebab-sebab berikut :-

1. Operator Kem yang dilantik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) diberi tempoh lebih kurang 6 bulan untuk menyiapkan kem sebelum pelatih dihantar ke kem tersebut.

2. Bagi membina sebuah kem PLKN, Operator Kem mesti memohon kelulusan Pelan Bangunan, yang prosesnya memakan masa 3 hingga 12 bulan.

3. Sebelum memohon kelulusan Pelan Bangunan, Operator Kem mesti memohon Kebenaran Merancang terlebih dahulu yang memakan masa 3 hingga 6 bulan.

4. Sebelum memohon Kebenaran Merancang, Operator Kem mesti memohon kelulusan Tukar Syarat Tanah serta Pecah Sempadan di Pejabat Tanah dan Daerah yang mengambil masa 6 hingga 12 bulan atau mungkin 2 tahun.

5. Kelulusan juga mesti di perolehi daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) serta beberapa jabatan teknikal lagi.

6. Keseluruhan masa yang diperlukan bagi mendapat kelulusan Pelan Bangunan ialah antara 12 bulan hingga 48 bulan.

Mana mungkin kelulusan Pelan Bangunan boleh diperolehi dalam masa 6 bulan, iaitu dalam tempoh menyiapkan kem yang diberikan oleh Mindef.

Malah ada pula Kem yang belum siap sepenuhnya tetapi sudah dihantar Pelatih oleh pihak Mindef dan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN).

Sesungguhnya kejadian Kem Sri Mutiara itu akan membongkarkan banyak rahsia lagi. Sanggupkah kita gadaikan nyawa anak-anak kita di kem yang tidak selamat ?

Tiada ulasan: