Isnin, 19 Januari 2009

'Saya serik benar anak sertai PLKN'
Oleh Khairul Anuar Abdul Samad krull@bharian.com.my

KOTA BHARU: Bapa pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dekat sini, meminta Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) meningkatkan ciri keselamatan di semua kem latihan PLKN. Md Hussin Yunus, 45, berkata ciri ini penting dan harus diberi keutamaan kerana membabitkan nyawa pelatih yang kebanyakannya masih baru dengan suasana di kem. "Ini berkaitan dengan nyawa dan keselamatan anak kita. Saya mempunyai lima lagi anak yang mungkin terpilih menyertai PLKN. Selepas kejadian ini, saya agak takut untuk membenarkan anak saya menyertainya dan mungkin akan memohon untuk pelepasan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menziarah anaknya, Ahmad Al-Hashyiemi, 17, yang kini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas terjatuh ke dalam longkang di Kem PLKN Tegas Mesra, Selama Perak, 1 Januari lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Ahmad Al-Hashyiemi dilaporkan hampir lemas selepas terjatuh ke dalam longkang yang digenangi air di kem terbabit ketika mengangkut barang dalam operasi pemindahan akibat banjir. Bagaimanapun, dia sempat diselamatkan oleh seorang jurulatih kem yang kebetulan berada di tempat kejadian tetapi pengurusan tidak memaklumkan kepada keluarganya.

Md Hussin berkata, anaknya itu tidak mengalami sebarang perubahan sejak dimasukkan ke ICU hospital berkenaan kelmarin. Katanya, doktor memberitahu keadaannya tenat dan bergantung kepada alat bantuan penafasan sepenuhnya kerana sukar bernafas. Katanya, beliau tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap PLKN sebaliknya ingin menumpukan kepada anak keduanya itu yang kritikal.

(sumber : Berita Harian 19 Januari 2009)

Tiada ulasan: