Rabu, 28 Januari 2009

Kesihatan Mental Pekerja Perlu Diberi Perhatian - NIOSH

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Institut Keselematan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) hari ini meminta kerajaan memperkenalkan garis panduan dalam usaha membantu majikan meningkatkan kesihatan mental dan penjagaan pekerja masing-masing.

Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye berkata beliau mendapati masih wujud majikan yang keberatan untuk berbincang tentang usaha meningkatkan kesihatan mental pekerja kerana kurang pemahaman tentang kaitan antara kesihatan dan penyakit mental."Dalam usaha meningkatkan langkah ke arah menjamin kesihatan mental, majikan boleh membantu dengan menggubal program yang mampu mengenal pasti masalah di tempat kerja yang ada kaitan dengan kemerosotan kesihatan mental," katanya dalam kenyataan di sini.Lee berkata langkah perlu diambil bagi mewujudkan satu program penjagaan kesihatan mental, menambah baik persekitaran pekerjaan, menyediakan khidmat kaunseling dan memperkenalkan langkah bagi melindungi kebebasan diri."Kebahagiaan dan kebajikan tenaga kerja dan keluarga mereka perlu dijamin melalui inisiatif ke arah memupuk kesihatan mental di tempat kerja, sejajar dengan pembangunan sumber manusia yang sewajarnya," kata beliau.

Beliau berkata kaji selidik menunjukkan bahawa kira-kira seorang daripada setiap lima pekerja mengalami gangguan mental atau 20 peratus daripada populasi pekerja setiap tahun."Oleh itu, kita perlu prihatin dengan jumlah kes penyakit mental atau mereka yang mengalami gangguan mental yang semakin meningkat jumlahnya," kata beliau.-- BERNAMA

Tiada ulasan: