KESELAMATAN BANGUNAN
DEFINISI
Sebelum membicarakan tentang ‘Keselamatan Bangunan’ kita mesti memahami definisi-definisi penting yang berkaitan dengan keselamatan.
Kemalangan (accident)
Kemalangan ialah kejadian yang berlaku tanpa dijangka atau tidak dirancang, dimana kejadian itu boleh menyebabkan kecederaan fizikal atau mental kepada manusia, kerosakan harta benda serta kemusnahan alam sekitar.
Kemalangan Hampir (near miss)
Kemalangan hampir ialah kejadian yang berlaku tetapi tidak menyebabkan kecederaan atau kerosakan atau kemusnahan samada kepada manusia ataupun hartabenda.
Hazad (hazard)
Hazad ialah sesuatu yang berbahaya yang boleh menyebabkan kemalangan. Ia termasuklah :-
i) Kelakuan yang tidak selamat (unsafe action).
ii) Keadaan yang tidak selamat (unsafe condition).
iii)Kombinasi kelakuan dan keadaan yang tidak selamat itu.
Risiko (risk)
Risiko ialah sesuatu yang kebarangkalian atau kemungkinan yang kerananya berlaku kejadian berbahaya.
PENGURUSAN RISIKO
Pengurusan risiko ialah suatu amalan pengurusan baik terhadap proses interaktif yang mengandungi beberapa langkah-langkah yang perlu dibuat secara berterusan bagi meningkat tahap keselamatan.
Pengurusan risiko ini lebih merujuk kepada keberkesanan cara dan keputusan yang diambil seperti mengenalpasti hazad, menganalisa hazad, langkah-langkah kawalan, pemantauan dan komunikasi terhadap aktiviti-aktiviti yang berisiko. Ini adalah bertujuan bagi mengurangkan kadar kehilangan atau kerugian terhadap sesuatu organisasi.
Mengapa Pengurusan Risiko Adalah Mustahak
Bagi apa jua jenis pekerjaan atau perniagaan, matlamat bagi meningkatkan moral organisasi adalah sama penting dengan keuntungan syarikat. Justeru itu pematuhan undang-undang dan peraturan bagi menyedia dan mengekalkan persekitaran yang sihat dan selamat di tempat kerja adalah mustahak.
Bagi mengurus keselamatan dan kesihatan secara berkesan, mana-mana organisasi wajar peka terhadap perkara-perkara berikut :-
1. Sesuatu yang berpotensi berbahaya di tempat kerja hendaklah dikenalpasti sebelum sebarang kemalangan berlaku.
2. Sesuatu yang berpotensi berbahaya hendaklah dibuat penilaian atau kajian kemungkinan risiko terjadi.
3. Mengenalpasti langkah-langkah kawalan dan pencegahan yang bersesuaian dengan risiko tersebut
4. Langkah-langkah kawalan dan pencegahan itu dilaksana secara berterusan dan dipantau bagi memastikan keberkesanannya.
Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP) di bawah Seksyen 15(2) telah menetapkan tanggungjawab majikan iaitu :-
1. Mengadakan dan menyenggara setakat yang praktik tempat kerja dan sistem kerja yang selamat;
2. Menyediakan kaedah atau cara yang boleh menjamin keselamatan dan kesihatan semasa pengendalian, penggunaan, simpanan dan pengangkutan bahan;
3. Memberi maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan;
4. Mengada dan menyenggara laluan masuk dan keluar dari tempat kerja adalah selamat; dan
5. Mengada persekitaran kerja yang selamat dengan menyediakan kemudahan bagi kebajikan pekerjanya.
Jelas sekali bahawa Seksyen 15(2) ini menuntut suatu pengurusan risiko yang terbaik dari para majikan di Malaysia.
KAWALAN RISIKO
Di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP) majikan bertanggungjawab mengambil langkah-langkah bagi menghapus risiko atau sekiranya tidak praktikal untuk dihapuskan maka hendaklah membuat kawalan dengan mengurangkan risiko itu seberapa praktik, yang bermaksud :-
1. mengetahui tahap bahaya hazad atau risiko itu;
2. mempunyai pengetahuan mengenai hazad atau risiko dan pengetahuan mengenai cara menghapus atau mengalih hazad atau risiko tersebut;
3. kesediaan dan kesesuaian cara atau teknologi yang digunakan bagi menghapus atau mengalih hazad atau risiko itu; dan
4. mengetahui kos yang diperlukan bagi menghapus atau mengalih hazad atau risiko itu.
REKABENTUK
Sebagai seorang Pengurus Projek di sebuah firma arkitek bumiputera yang terkemuka, Seksyen 15(2) AKKP merupakan satu tanggungjawab besar. Lebih-lebih lagi apabila membicara “MEREKABENTUK BANGUNAN SEKOLAH YANG SELAMAT BAGI MURID –MURID SEKOLAH RENDAH”
Bagi projek sekolah milik kerajaan, klien ialah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang merupakan majikan kepada guru-guru seramai 346,673 di seluruh negara dan kakitangan-kakitangan lain di sekolah yang sudah siap dibina dan beroperasi. Seluruh kawasan sekolah adalah tempat berkerja.
Adalah tanggungjawab majikan iaitu KPM mematuhi peruntukan Seksyen 4 AKKP yang menjadi objektif penggubalan akta tersebut.
Seksyen 4 AKKP menyatakan objektif Akta ialah :-
a) Melindungi keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja.
b) Melindungi 'orang lain' yang berada di tempat kerja.
c) Menggalakkan suasana kerja yang selamat dan sihat yang bersesuaian dengan psikologi dan fisiologi manusia.
d) Menjadikan keselamatan dan kesihatan sebagai satu budaya kerja yang praktis dan standard yang boleh digunapakai di dalam sistem pengurusan dan operasi sesuatu organisasi.
Perkara (b) di atas secara jelas menyatakan objektif Akta ialah melindungi orang lain yang bukan pekerja yang berada di tempat kerja, dimana murid-murid merupakan ‘orang lain’ dalam konteks sebuah sekolah sebagai tempat kerja. Seksyen 4 ini sangat berkait rapat dengan Seksyen 15 memperincikan tanggungjawab majikan terhadap pekerja-pekerjanya.
Maka menjadi tanggungjawab para Arkitek Profesional bagi memastikan peruntukan Seksyen 4 dan Seksyen 15(2) terlaksana dengan cara merekabentuk bangunan sekolah yang selamat, agar selamat diguna oleh murid-murid, para guru dan seluruh warga sekolah.
PENTINGNYA KESELAMATAN
Menurut Abdullah Al-Hadi dan lain-lain (2001). Kekurangan prasarana, kemudahan pembelajaran, suasana pembelajaran yang tidak selesa, selamat, dan kondusif terutama merupakan antara faktor yang mempengaruhi pelajar berpencapaian rendah.
Terdapat bangunan sekolah yang usang, atap bocor, dinding rosak, kerusi meja yang tidak bersesuaian dengan murid yang mempunyai saiz badan yang lebih besar, dan tiada kemudahan asas atau kemudahan asas yang kurang memuaskan seperti gangguan bekalan air dan elektrik. Tandas yang tidak sempurna dan selalu rosak menjadikan sekolah tidak selamat dan mendatangkan stress kepada murid-murid.
Perkara-perkara yang menyebabkan stres boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan murid. Apabila seseorang murid menghadapi stres, mereka boleh terjejas dari segi emosi, kelakuan dan akademik.
Merekabentuk bangunan sekolah yang selamat pemilihan lokasi adalah penting. Lokasi sekolah yang kurang sesuai seperti persekitaran yang bising di tengah bandar dan sekolah yang terlalu jauh sehingga pelajar menghabiskan banyak masa dalam perjalanan mempengaruhi pembelajaran dan emosi pelajar.
Baru-baru ini Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Wee Ka Siong dipetik sebagai berkata “Tahap keselamatan bangunan di sekolah perlu diberi penekanan bagi memastikan keselamatan murid-murid terjamin”. Beliau berkata, pemantauan dan penilaian berhubung tahap keselamatan bangunan di sekolah perlu dilakukan secara berkala bagi tujuan tersebut. “Masalah bangunan sekolah yang sudah lama seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa 1 menyebabkan sekolah itu mengalami masalah kekurangan murid kerana ibu bapa tidak mahu menghantar anak-anak ke sekolah itu kerana bimbangkan keselamatan mereka”.
“Kementerian tidak mahu masalah membabitkan bangunan sekolah mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran seperti insiden serangan ulat bulu di Sekolah Kebangsaan Bandar, Kota Tinggi, Johor 22 April lalu, sehingga sekolah tersebut terpaksa ditutup selama dua hari,” katanya ketika ditemui pemberita di SJKC Pei Yang di Muar.
Rabu, 11 Jun 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan