Rabu, 11 Jun 2008

Sekolah Yang Selamat (Bhg. 1)

MEREKABENTUK SEKOLAH YANG SELAMAT
BAGI MURID-MURID SEKOLAH RENDAH
oleh : Wan Rashid Mohammad
(Artikel ini adalah sedutan daripada sebahagian tulisan kertas kerja/kajian penulis )
PENGENALAN KEPADA KAJIAN

1.1 PENDAHULUAN

Mutakhir ini media massa kita sering membuat liputan tentang keselamatan sekolah yang agak longgar. Aspek fizikal, sosial, emosi dan teknikal digambarkan seolah-olah kurang selamat dan kurang menyakinkan orang ramai. Namun realitinya bukanlah semua sekolah berkeadaan begitu kerana masih banyak lagi sekolah di negara ini berkeadaan selamat dan berfungsi secara efektif.

Walau bagaimanapun kita memangnya sedar tentang wujudnya sebilangan sekolah yang mengabaikan tentang keselamatan. Kita juga menyedari faktor-faktor yang negatif yang terdapat di luar persekitaran sekolah yang mampu mempengaruhi watak dan perilaku yang kurang sihat seseorang murid sehingga mencorakkan suasana sekolah yang tidak selamat.
Perubahan dalam iklim pendidikan dewasa ini telah mewujudkan keperluan mengenal pasti kaedah, strategi dan model program yang mampu mempertingkatkan keselamatan dan kejayaan murid serta guru.

Program Sekolah Selamat

Kementerian Pendidikan Malaysia (sekarang dinamakan Kementerian Pelajaran Malaysia – KPM) telah melancarkan Program Sekolah Selamat untuk dilaksanakan oleh semua sekolah di seluruh negara bagi membendung masalah disiplin para pelajar. Tujuan utama pelaksanaan program ini ialah untuk mewujudkan persekitaran sekolah agar warga sesebuah sekolah itu merasa selamat untuk menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta menjalankan kegiatan kokurikulum tanpa gangguan dari mana-mana pihak sama ada dari luar mahu pun dari dalam. Aspirasi Sekolah Selamat menjadikan sekolah sebagai tempat di mana perbezaan budaya dan nilai setiap individu atau kumpulan dihargai oleh semua pihak, disamping amalan menjaga keselamatan dijadikan budaya dalam kehidupan seharian warga sekolah. Warga sekolah di Malaysia bermaksud guru, pelajar, kakitangan sokongan, pentadbir sekolah, kaunselor dan sebagainya. Setiap warga sekolah mestilah mempunyai kesedaran tentang keselamatan dan diterjemahkan melalui sikap dan tingkahlaku sensitif, prihatin dan tanggungjawab profesional untuk menjamin suasana pembelajaran dapat berjalan dengan baik.

Keputusan KPM melancarkan Program Sekolah Selamat pada tahun 2002 sebenarnya bertunjangkan satu matlamat jitu iaitu mewujudkan budaya selamat di sekolah dan persekitaran secara berterusan dengan sokongan keluarga dan komuniti setempat. Objektif umumnya ialah untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan bahawa keselamatan hendaklah dijadikan agenda utama dalam semua aspek pendidikan di sekolah. Jelas inisiatif baru itu bukan sekadar program ‘tangkap muat’ semata-mata.

Bahagian Sekolah KPM menyediakan buku ‘Konsep dan Manual Sekolah Selamat’ sebagai panduan pelaksanaan menjadikan sekolah, komuniti dan keluarga selamat untuk kanak-kanak. Buku itu turut memuatkan aspek manual untuk pelajar menangani isu keselamatan dalam bidang aktiviti pelajar, bencana alam, fizikal dan bangunan sekolah, sosial, serta persekitaran dan lokasi sekolah.

Akhbar Utusan (Edisi On line) 16 November 2004 melaporkan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Jabatan Sekolah), Datuk Kusaini Hasbullah, dalam satu pertemuan, menjelaskan sebenarnya konsep sekolah selamat sudah pun ada dalam sistem pendidikan formal selama ini. “Memanglah menjadi hasrat guru, ibu bapa dan pelajar supaya semua yang dilakukan tercapai dalam keadaan selamat. Sekiranya berjaya pun, berjaya dengan selamat. Itu adalah hasrat serta cita-cita kementerian juga. “Jadi konsep sekolah selamat ini daripada begitu umum, dibina dan dikembangkan menjadi satu konsep khusus yang dilaksanakan di sekolah seluruh negara. Malah, didapati kira-kira 84 peratus daripada keseluruhan 10,000 sekolah rendah dan menengah kini menjalankan konsep ini secara aktif,” katanya.

Masalah Keselamatan Di Sekolah Rendah :-

1.Rekabentuk kebanyakan sekolah rendah (sekolah kebangsaan dan sekolah rendah jenis kebangsaan) yang ada tidak mesra kepada pengguna yang terdiri daripada anak-anak kecil terutama dari aspek keselamatan dan kesihatan.

2.Faktor dan aspek ergonomik tidak diberi perhatian utama dalam penyediaan peralatan, kemudahan dan perabot sekolah.

3. ‘Program Sekolah Selamat’ bermotokan 3K (Keselamatan, Keceriaan dan Keindahan) yang di buat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) lebih memberi fokus kepada keselamatan sekolah dari aspek pencerobohon, pembulian dan gangsterisma iaitu keselamatan dari sudut security bukannya safety.

4. Tiada rekabentuk standard yang digunapakai bagi kemudahan di dalam bangunan dan di kawasan sekolah khususnya sekolah rendah.

Tiada ulasan: