Rabu, 11 Jun 2008

Sekolah Yang Selamat (Bhg. 4)


ANALISA KAJIAN

4.1 PENDAHULUAN

Membicara rekabentuk sekolah yang selamat sudah pasti Program Sekolah Selamat KPM menjadi bandingan dalam kajian ini. Selain bertujuan untuk menjawab persoalan mengenai aspek rekabentuk sekolah yang selamat di sekolah-sekolah rendah di seluruh Malaysia, kajian ini juga ingin mengenalpasti sekiranya terdapat perbezaan pandangan antara sekumpulan responden yang dikaji.

4.1.1 Alat Kajian

Kajian ini menggunakan borang kaji selidik yang direka sendiri oleh Penyelidik berasaskan kepada persoalan dan tujuan kajian serta telah dikaji kesesuaiannya melalui kajian awal yang dijalankan. Borang-borang kaji selidik telah dikirimkan secara pos kepada responden. Sebahagian borang juga dihantar secara serahan tangan.
Borang yang diserah secara serahan tangan kebanyakkannya pihak responden memberi maklumbalas serta merta berdasarkan soalan-soalan dalam borang tersebut.

4.1.2 Responden

Responden adalah terdiri daripada sekumpulan Arkitek Profesional, sekumpulan Pengetua atau Guru Besar sekolah, sekumpulan guru biasa dan sekumpulan murid sekolah. Mereka ini adalah dari kalangan populasi menggunakan persampelan berkelompok dengan mengambil kira zon atau kawasan atau kumpulan yang diwakili.

Menurut Ary et al .(1990) suatu sampel yang baik mestilah mempunyai dua kriteria iaitu perwakilan dan kecukupan. Perwakilan membawa pengertian bahawa sampel yang dipilih mestilah mewakili populasi kajian. Perwakilan pula membawa maksud bahawa bilangan sampel yang digunakan adalah mencukupi untuk membuat kesimpulan dan generalisasi yang meyakinkan.

Dengan mengambil kira formula penentuan saiz sampel ini, saiz sampel yang digunakan untuk kajian ini adalah terdiri daripada 31 orang Pengetua atau Guru Besar, 20 orang guru biasa, 20 orang murid dan 10 orang arkitek.

Pengetua atau Guru Besar yang terpilih adalah terdiri daripada sekolah-sekolah yang terlibat dengan projek rintis penulisan buku “Konsep dan Manual Sekolah Selamat” iaitu 16 buah sekolah rendah dan 15 buah sekolah menengah. Sekolah-sekolah yang dimaksudkan itu ialah :-

1. Sekolah Kebangsaan Kesang Tasik, Muar Johor;
2. Sekolah Kebangsan Ayer Hitam, Alor Star, Kedah;
3. Sekolah Kebangsaan Seri Indera, Kangar, Perlis;
4. Sekolah Kebangsaan Duyong, Melaka;
5. SJK (C) Chung Hwa, Teluk Kemang, Negeri Sembilan;
6.Sekolah Kebangsaan Rinching Hilir, Semenyih, Selangor;
7. Sekolah Kebangsaan TUDM II, Lumut, Perak;
8. Sekolah Kebangsaan Chini 3 & 5, Pekan, Pahang;
9. Sekolah Kebangsaan Tok Jiring, Kuala Terengganu, Terengganu;
10. SJK (T) Vivekananda, Brickfields, Kuala Lumpur;
11. Sekolah Kebangsaan Bukit Kalam, Labuan;
12. Sekolah Kebangsaan Tun Datu Haji Mustaffa, Kudat, Sabah;
13. Sekolah Kebangsaan Temenggung Datuk Muip, Miri, Sarawak;
14. Sekolah Kebangsaan Mempelam, Kuala Krai, Kelantan;
15. Sekolah Kebangsaan Long Tuma, Lawas, Sarawak;
16. Sekolah Kebangsaan Teluk Bahang, Pulau Pinang;
17. Sekolah Menengah Agama Syarifah Rodziah, Teluk Mas, Melaka;
18. Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi, Kayangan, Perlis;
19. Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra, Jitra, Kedah;
20. Sekolah Menengah Kebangsaan Kg Kastam, Butterworth;
21. Sekolah Menengah Kebangsaan Alang Iskandar, Bagan Serai, Perak;
22. Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Air Panas, Setapak, Kuala Lumpur;
23. Sekolah Menengah Kebangsaan King George V, 70200 Seremban, Negeri Sembilan;
24. Sekolah Menengah Kebangsaan St. Anne, Peti Surat 69, Labuan;
25. Sekolah Menengah Sains Johor, Johor Bahru, Johor;
26. Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan;
27. Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu, Terengganu;
28. Sekolah Menengah Kebangsaan Riam, Taman Tunku, Miri, Sarawak;
29Sekolah Menengah Kebangsaan Wallace Bay, Tawau, Sabah;
30 Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, 27200 Kuala Lipis; dan
31 Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Reko, Kajang, Selangor.

KEPUTUSAN KAJIAN

4.2.1 Analisis Data Statistik

Analisis data statistik kajian ini dibuat secara manual memandangkan tempoh masa serta bilangan responden memberi maklumbalas adalah kecil. Penggunaan perisian The Statistical Package for the Social Science (SPSS) (Norusis 1988) adalah lebih sesuai untuk menganalisis data yang berskala besar. Walaupun analisis dibuat secara manual, ketepatan pengiraan adalah menjadi keutamaan dalam kajian ini.

4.2.2 Mengenai AKKP 1994

Apabila membicarakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 sudah menjadi sinonim dengan tugasan dan kehidupan seharian. Sungguhpun begitu masih ada dari kalangan responden dari kalangan guru dan Pengetua tidak memiliki pengetahuan mengenai AKKP 1994. Dari segi perlaksanaan AKKP 1994 di sekolah-sekolah, cuma 51.6 peratus Pengetua bersetuju, manakala guru biasa pula sebanyak 25.0 % sahaja.

4.2.3 Mengenai Program Sekolah Selamat

Kajian mengenai program sekolah selamat hanya melibatkan Pengetua atau Guru Besar, guru biasa dan murid-murid yang berjumlah 71 responden. Apa yang sangat mengejutkan ialah 66.2 % responden bersetuju bahawa Program Sekolah Selamat sebenarnya lebih mementingkan aspek kecantikan dan keceriaan sekolah .

4.2.4 Pencegahan Kebakaran

Sebagaimana Program Sekolah Selamat, kajian mengenai pencegahan kebakaran juga mengejutkan. Berdasarkan Jadual 3 di bawah, 30 responden atau 42.2 % mengatakan bahawa alat pemadam api yang disediakan di sekolah tidak mencukupi. Manakala 34 responden atau 47.9 % memberitahu bahawa guru-guru tidak diajar menggunakan alat pemadam api dan alat pancur mula di sekolah.
Apalah gunanya peralatan melawan kebakaran disediakan tetapi tidak tahu cara menggunakannya.

4.2.5 Rekabentuk Sekolah

Kajian mengenai rekabentuk mendapati 69.0 % responden bersetuju bahawa rekabentuk bangunan mempunyai kaitan dengan keselamatan murid-murid di sekolah, manakala 91.4 % ianya berkaitan dengan rekabentuk infrastruktur. Begitu juga tentang rekabentuk perabot dan kemudahan dalam bangunan, dimana ianya juga mempunyai kaitan dengan keselamatan.

Keputusan kajian yang ditunjukkan pada Jadual 5 mendapati sebahagian besar responden berpendapat saiz dan rekabentuk tangga, tandas, kerusi dan meja tidak sesuai bagi murid-murid sekolah rendah.

4.2.6 Kemalangan

Kajian mengenai kemalangan di sekolah diperolehi daripada 51 responden yang terdiri daripada 31 orang Pengetua atau Guru Besar dari 31 buah sekolah di seluruh Malaysia bagi tahun 2007 dan 3 bulan pertama tahun 2008. Maklumbalas yang diperolehi adalah sebagaimana Jadual 6. Punca-punca kemalangan pula ditunjukkan di dalam Jadual 7 di bawah.

PERBINCANGAN KEPUTUSAN

Secara keseluruhannya, kajian ini mengesahkan bahawa rekabentuk kebanyakan sekolah yang ada di seluruh negara tidak mesra kepada murid-murid sekolah rendah samada dari segi rekabentuk atau kemudahan yang disediakan.

Ramai guru dan Pengetua tidak mengetahui tentang AKKP 1994, jauh sama sekali untuk mengamal dan mempraktiknya di sekolah. Sebab itulah kajian mendapati peralatan untuk mencegah dan melawan kebakaran disediakan secara ala kadar. Bukan setakat sahaja, guru-guru pula mengakui bahawa mereka tidak pernah diajar cara bagaimana menggunakan peralatan-peralatan tersebut.

Cuba bayangkan kebakaran berlaku di sekolah. Guru-guru yang diharapkan terkehadapan untuk mencegah api daripada merebak, tetapi guru hanya mampu menjadi penonton sahaja atau mungkin juga guru-guru lebih dahulu lari menyelamatkan diri mereka. Kejadian sebegini boleh terjadi apabila guru-guru berterusan jahil tentang AKKP 1994.

Program Sekolah Selamat mempunyai matlamat yang baik, iaitu bagi mewujudkan budaya selamat di sekolah dan persekitaran secara berterusan dengan sokongan keluarga dan komuniti setempat. Bagaimanapun, selepas 6 tahun pelaksanaan program itu, masyarakat masih digemparkan dengan insiden memalukan dan berlawanan arus dengan usaha bersungguh-sungguh banyak pihak untuk menjadikan negara pusat kecemerlangan pendidikan.
Beberapa kejadian bumbung asrama melayang ditiup angin, bangunan makmal komputer roboh dan terbaru bumbung bangunan dewan di sebuah sekolah di Dungun, Terengganu bulan lepas telah ranap menyembah bumi. Itu belum lagi dikira kes-kes keracunan makanan yang berlaku hampir setiap minggu di seluruh negara sejak awal tahun ini.

Pertandingan 3K (Keselamatan, Kebersihan dan Keceriaan) peringkat kebangsaan setiap tahun hanya melahirkan sekolah-sekolah yang berlumba-lumba mencantikkan sekolah masing-masing, sebab saban tahun sekolah yang paling cantik memenangi Anugerah 3K. Program Sekolah Selamat seolah-olah tidak bermakna apabila aspek keselamatan tidak dititikberatkan. Kalaupun diberi perhatian cuma keselamatan dari sudut security iaitu, pencerobohon, pembulian, gangsterisma padahal keselamatan dari sudut safety juga perlu diutamakan.

Menurut pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye konsep “sekolah selamat” tidak seharus terbatas kepada masalah disiplin, jenayah, ancaman kepada pelajar, membuli dan sikap gengster semata-mata, tetapi juga perlu meliputi aspek keselamatan bangunan, peralatan dan kemudahan sekolah. Sekolah-sekolah perlu sedar tentang kewujudan dan kepentingan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta aplikasinya kepada institusi pendidikan bagi kepentingan aspek keselamatan dan kesihatan.

Menurut beliau walaupun keutamaan akta tersebut untuk melindungi pekerja, tetapi ia termasuk juga peruntukan mencukupi bagi melindungi “perkara-perkara lain” yang terjejas. Lee berkata selaras dengan akta itu, pihak pengurusan sekolah dan Jabatan Pelajaran yang mewakili majikan, mempunyai tanggungjawab am bagi memastikan keselamatan dan kebajikan guru dan kakitangan sokongan serta melindungi pelajar dan pelawat.

Perubahan iklim pendidikan telah mewujudkan keperluan mengenal pasti kaedah, strategi, dan model program yang mampu mempertingkatkan keselamatan dan kecemerlangan murid serta guru. Pihak sekolah, persatuan ibu bapa dan komuniti setempat seharusnya bertanggungjawab untuk sama-sama mewujudkan dan melaksanakan “Polisi Sekolah Selamat”.

Memberi perhatian kepada aspek keselamatan dalam rekabentuk bangunan dan kemudahan infrastruktur di sekolah adalah sebahagian daripada langkah “kawalan risiko” seperti yang dibincang di dalam Bahagian 3 terdahulu. Walaupun piihak sekolah menyalahkan ‘kecuaian murid’ sebagai sebab kemalangan, namun kajian mendapati kemalangan yang berlaku di sekolah sebahagiannya disebabkan rekabentuk yang tidak mesra kepada pelajar khususnya murid-murid sekolah rendah yang kita bincangkan. Selain itu saiz dan rekabentuk perabot yang tidak ergonomik akan menyebabkan ketidakselesaan kepada murid-murid.

Kajian juga menunjukkan bahawa kemalangan di bahagian tangga pada tahun 2007 mencatatkan kadar kemalangan yang paling tinggi iaitu 36.3 % berbanding bahagian-bahagian lain seperti bilik darjah, tandas, kantin dan lain-lain. Bagi tempoh 3 bulan pertama tahun ini, tangga mencatatkan kadar kemalangan sebanyak 28.6 %. Oleh kerana itu rekabentuk tangga perlu diberi perhatian khusus dalam cadangan penambahbaikan rekabentuk sekolah.

Tiada ulasan: