Khamis, 12 Jun 2008

Majlis Pelancaran Buku Panduan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan Di Sekolah


Pelancaran Buku Panduan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan Di Sekolah
Artikel saya bertajuk "Sekolah Yang Selamat" dalam blog ini adalah petikan daripada Kertas Kajian saya bertajuk "Merekabentuk Bangunan Sekolah Yang Selamat Bagi Murid-Murid Sekolah Rendah". Kajian tersebut adalah kerana menyedari bahawa Program Sekolah Selamat yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tidak mencapai matlamat sebenar serta tidak mematuhi peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994).
Walaupun kajian saya mengenai keselamatan di sekolah rendah tetapi saya itu telah merumuskan bahawa sudah tiba masanya AKKP 1994 dilaksanakan di kesemua sekolah di Malaysia termasuk sekolah menengah. Kajian saya telah siap sepenuhnya pada 20 Mei 2008.
Semalam, 11 Jun 2008 bertempat di Sekolah Kebangsaan Seri Gombak 2, Kerajaan telah melancarkan Buku Panduan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan Di Sekolah . Lihat petikan Berita Harian hari ini di bawah.

Seminar, kursus tidak lagi di hotel

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia mengambil inisiatif mengurangkan kos operasi dengan mengehadkan penganjuran seminar dan kursus kepada kakitangan di hotel, sebaliknya mengadakannya di jabatan masing-masing. Timbalannya, Datuk Noraini Ahmad, berkata langkah proaktif itu bagi memastikan wang yang diperuntukkan untuk bayaran hotel boleh diagihkan untuk kebajikan kakitangan atau perbelanjaan lain. “Hanya tempat yang berubah, modul pembelajaran masih sama. Langkah ini perlu untuk memberi ruang kepada kementerian memperuntukkan wang kepada perkara yang mendatangkan kebaikan kepada pekerja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Panduan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan Di Sekolah, di Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak 2, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Datuk Lee Lam Thye; Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran, Zulkifly Mohd Wazir dan Pengurus Bahagian Perubatan dan Kesihatan Pekerjaan Exxonmobil Exploration (Exxonmobil), Dr Abu Hasan Samad. Pada majlis itu, Exxonmobil turut menyampaikan cek berjumlah RM29,000 kepada tujuh sekolah yang ditajanya sebagai peruntukan untuk cetakan buku panduan dan papan tanda keselamatan bagi keperluan pelajar sekolah terbabit. Ketika ditanya sama ada tindakan mengurangkan penganjuran seminar akan menjejaskan pendapatan kepada pihak perhotelan, Noraini tidak bersetuju kerana hotel berkait rapat dengan bidang pelancongan.

“Saya percaya pihak pengurusan hotel akan mencari alternatif untuk meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Sementara itu, Noraini berkata, sebanyak 1,500 buku panduan yang dilancarkan itu akan diedarkan kepada pelajar sekolah di tujuh sekolah tajaan Exxonmobil bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan mereka yang bekerja di sekolah termasuk guru, kakitangan sekolah dan pekerja kantin.Katanya, tahap kesedaran keselamatan dan kesihatan di sekolah meningkat setiap tahun dan projek yang sudah diadakan sejak 2002 itu diharap dapat mengurangkan kadar kemalangan dengan sasaran sifar kemalangan.

(sumber : Berita Harian 12 Jun 2008)

Tiada ulasan: