Rabu, 11 Jun 2008

Sekolah Yang Selamat (Bhg. 5)


CADANGAN DAN KESIMPULAN

CADANGAN

Berdasarkan dapatan kajian, analisis dan perbincangan yang telah diutarakan dalam kajian ini, berikut dikemukakan beberapa cadangan penambahbaikan bagi amalan keselamatan agar lebih mesra dan selamat kepada murid-murid sekolah rendah.

5.1.1 Tangga Sekolah

Ukuran dalam binaan tangga adalah sangat penting. Peraturan mengenai tangga telah termaktub di dalam Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UBBL). Peraturan yang ada mensyarat ukuran ketinggian maksima anak tangga ialah 177 mm manakala kelebaran minima anak tangga ialah 255 mm.

Ukuran ketinggian 177 mm yang seperti dalam UBBL adalah ukuran ketinggian maksima. Tiada had bagi ukuran minima. Tetapi kebanyakan tangga sekolah-sekolah di seluruh negara telah dibina menggunakan ukuran 150 mm tinggi dan 255 mm lebar. Ukuran tinggi anak tangga yang dibina itu sebenarnya ukuran yang sepadan dengan orang dewasa. Bagi anak-anak kecil di sekolah rendah apatah yang baru memasuki darjah satu dan terpaksa membawa beg sekolah yang berat sudah tentu saiz yang sedia ada itu tidak bersesuaian.

Kajian dan pemerhatian yang dibuat selama berkhidmat sebagai arkitek ukuran anak tangga yang sesuai bagi sekolah rendah ialah 100 mm tinggi dan 300 mm lebar seperti Gambar 21 di bawah.

Selain anak tangga, pembinaan susur tangan (handrail) besi pada tangga bertujuan untuk berpegang, tetapi dalam masa yang sama ianya tidak selamat kepada kanak-kanak kecil kerana mereka akan mudah tergelicir apabila terjatuh. Susur tangan seperti ini banyak terdapat di sekolah-sekolah yang dibina secara kontrak reka dan bina (design and build).

Bangunan sekolah-sekolah dahulu susur tangan dibina menggunakan batu-batu kerana kosnya yang murah (lihat Gambar 23). Sebenarnya pembinaan tembok batu-bata sebagai susur tangan adalah lebih selamat kepada murid-murid berbanding susur tangan jenis besi seperti di atas.

Boleh dikatakan kesemua tangga di sekolah hari, binaan susur tangan hanya dibina di satu sisi tangga sahaja. Adalah dicadangkan supaya susur tangan di sekolah rendah dibina pada kedua-dua sisi tangga. Murid-murid amat gemar berlari dan berkejar-kejaran termasuklah semasa menaiki atau menuruni tangga. Dengan adanya susurtangan di kedua-dua sisi tangga, ia akan membantu murid-murid berpegang dan daripada mengelak kejadian yang tidak diingini.

5.1.2 Tandas

Pembinaan tandas murid juga perlu diberi perhatian. Permukaan lantai tandas didapati kerap menyebabkan murid-murid terjatuh. Selain permukaan lantai yang licin, murid-murid mudah tersepak drop pada bahagian pintu tandas.

Adalah dicadangkan supaya lantai drop tandas murid di sekolah rendah digantikan dengan lantai slope sebagaimana kini terdapat pada tandas-tandas orang kurang upaya (OKU).

Jubin lantai tandas juga hendaklah ditukar kepada jubin jenis unglazed kerana ianya lebih selamat apabila berkeadaan basah. Aksesori tandas juga hendaklah diganti kepada model yang lebih ergonomik dan sesuai bagi murid-murid sekolah rendah. Banyak kes berlaku dimana murid tergelincir kaki di dalam mangkuk tandas (w.c.). Ini adalah kerana saiz mangkuk tandas itu tidak bersesuaian dengan mereka. Di pasaran sudah banyak mangkuk tandas (w.c.) dan basin berukuran kecil khusus untuk kanak-kanak kecil, tetapi kenapa masih menggunakan aksesori bersaiz besar.

5.1.3 Koridor dan Laluan

Koridor, kakilima dan laluan pejalan kaki juga perlu kepada penambahbaikan untuk keselamatan murid-murid. Sepertimana tangga, binaan susurtangan pada koridor juga wajar dibina dengan tembok batu-batu.

Koridor, kaki lima dan kesemua laluan pejalan kaki adalah laluan keselamatan bila berlaku kebakaran. Kesemua koridor dan laluan itu hendaklah bebas daripada objek yang boleh menghalang orang berjalan.

Kelebaran koridor iaitu 120 cm mencukupi sebagai laluan selamat apabila berlaku kecemasan, tetapi oleh kerana murid-murid hari ini menggunakan beg sekolah yang besar dan bertroli lantaran banyaknya buku-buku kerja setiap hari, kelebaran koridor perlu fikirkan semula. Ukuran 150 cm adalah dirasakan lebih wajar dan munasabah untuk berselisih dan keselamatan.

5.1.4 Kemudahan Infrastruktur

Rekabentuk kemudahan infrastruktur seperti jalan dan longkang juga penting untuk kawalan keselamatan murid-murid. Tidak kurang juga kes-kes yang melibatkan murid terjatuh longkang samada longkang di sekeliling bangunan ataupun longkang di tepi jalan.

Longkang yang tidak bertutup seperti dalam Gambar 27 adalah mendatangkan bahaya kepada murid-murid. Adalah dicadangkan supaya kesemua longkang di dalam kawasan sekolah terutama di kawasan yang menjadi laluan murid-murid di tutup. Adalah lebih selamat sekiranya ditutup menggunakan lantaian konkrit (concrete slab).

5.1.5 Perabot

Di sekolah kerusi dan meja murid walaupun tidak dianggap berbahaya, tetapi sebenarnya boleh memberikan kesan kronik pada jangkamasa yang panjang. Kerusi dan meja yang dibina daripada kayu yang keras, rekabentuk yang tegak lurus, serta ketinggian yang tidak sesuai adalah tidak ergonomik kepada murid-murid sekolah rendah.

Fizikal badan murid-murid darjah satu hingga tiga tidak sama dengan murid-murid darjah empat hingga enam. Apatah lagi kalau dibandingkan dengan murid-murid sekolah menengah. Pembesaran tubuh badan kanak-kanak adalah cepat di antara umur 7 hingga 12 tahun. Oleh sebab itulah fizikal murid-murid darjah tiga begitu berbeza dengan rakan mereka di darjah enam.

Adalah dicadangkan supaya kerusi murid direka dan dibuat menggunakan bahan yang lebih selesa. Saiz kerusi dan meja sekolah rendah hendaklah didatangkan dalam dua saiz bagi dua kelompok pelajar. Kelompok pertama pelajar darjah satu hingga tiga manakala kelompok kedua ialah pelajar darjah empat hingga enam.

Kerusi dan meja komputer serta meja di Bilik Sains di sekolah rendah juga dicadang agar diganti kerana ketinggiannya tidak sesuai. Ukuran yang ada hanya sesuai untuk murid sekolah menengah.

Kepada Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) iaitu persatuan yang mewakili Arkitek Profesional dalam negara dicadangkan supaya menyediakan satu manual yang standard bagi rekabentuk perabot dan peralatan disekolah khususnya sekolah rendah. Untuk tujuan itu suatu seminar perlu diadakan dan dihadiri oleh semua pengamal senibina berdaftar bagi tujuan menghasilkan manual standard rekabentuk yang dimaksudkan itu.

5.2 KESIMPULAN

Untuk memastikan sekolah berada dalam keadaan lebih selamat, usaha-usaha secara bersepadu perlu dilaksanakan bukan sekadar merekabentuk dan membina bangunan sekolah yang selamat. Usaha bersepadu itu bukan sahaja oleh pengetua sebagai pengurus sekolah tetapi juga seluruh warga sekolah termasuk guru, pelajar, ibu bapa, dan PIBG, pihak berkuasa Kementerian Pelajaran dan ahli komuniti termasuk pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan. Strategi perancangan dan pelaksanaannya juga perlu dilakukan dalam proses yang berterusan tidak kira elemen-elemen yang menggugat keselamatan berkenaan sudah wujud atau belum di sekolah.

Sekolah dan persekitaran merupakan faktor utama dalam mempengaruhi pembentukan sahsiah dan pencapaian pelajar. Faktor sekolah termasuklah guru, kemudahan pembelajaran, persekitaran pembelajaran, pembiayaan pendidikan, sistem pendidikan, cara penyampaian pendidikan, program sokongan, dan hubungan sekolah dan komuniti. Faktor persekitaran termasuk komuniti, budaya sesuatu bangsa atau kaum serta sistem sokongan yang wujud dalam masyarakat akan terus mewarnai kehidupan seseorang murid. Dengan lain perkataan, budaya belajar seseorang pelajar itu dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuklah faktor keselamatan, keluarga, sekolah serta persekitaran yang boleh menentukan kejayaan atau kegagalan seseorang pelajar baik dalam apa bidang pun serta dalam kehidupan sebenarnya.

RUJUKAN

Konsep dan Manual Sekolah selamat. 2002. Kuala Lumpur: Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.6/1997.
Kementerian Pendidikan Malaysia. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.6/2000.
Kementerian Pendidikan Malaysia. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.7/2000.
Kementerian Pendidikan Malaysia. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.9/2000
Kementerian Pendidikan Malaysia. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.4/2002.
Dewan Masyarakat. Jun 2000. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Halaman 14-16.
Hussein Mahmood (1993). “Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah”. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Mohd.Ismail Othman (2004). “Undang-Undang Untuk Pengetua dan Guru Besar”. Pahang: PTS Publications & Distributions Sdn.Bhd.
Salleh Buang (1996). “Sejarah Undang-Undang Malaysia: Kes dan Material”. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Akhbar Utusan (Edisi On line). 16 November 2004. “Perkenalkan Dasar Keselamatan, Kesihatan Di Sekolah.” http://www.utusan online .com.my
Akhbar Utusan (Edisi On-Line). 7 Jun 2004. “19 Pelajar Cedera, Paip Gas Makmal Meletup.”
http://www.utusan online .com.
Akhbar Utusan (Edisi On-Line). 13 Julai 2005. “Lebih 100 Pelajar sisyaki Keracunan Makanan. ”
http://www.utusan online .com.my
Akhbar Berita Harian. 25 September.2003. “Pengetua, Pelajar Mesti Kerap Berbincang.”
Azrina Ahzan (1999). “Langkah Memperkukuhkan Keselamatan Sekolah”. Berita Minggu 11 Jun 1999.Halaman 4.

Tiada ulasan: