Rabu, 11 Jun 2008

MISKIN PUNCA RENTUNG

Miskin punca rentung -- Tidak mampu bayar bil elektrik sebabkan 5 beranak maut
Oleh SUNARTI KIBAT

KLUANG 9 Ogos – Pasangan suami isteri yang terkorban bersama tiga anak mereka dalam satu tragedi kebakaran di Kampung Tengah di sini awal pagi ini merupakan ayah dan ibu yang hidup dalam kesempitan kerana sebahagian besar pendapatan mereka digunakan untuk menyara keluarga dan membiayai pendidikan anak-anak.
Si suami, Kasmuri Jasman, 44, ialah seorang pekerja sebuah kilang mozek di sini dengan gaji yang sederhana.
Isterinya, Sufiah Abdul Karim, 41, pula seorang suri rumah tangga.
Bergaji hanya RM1,800 sebulan, Kasmuri menyara anak-anaknya seramai tujuh orang dengan tiga daripadanya sedang menuntut di institusi pengajian tinggi.
Mereka sekeluarga tinggal di rumah sewa dua bilik dengan kadar sewa RM200 sebulan.
Pemilik rumah yang disewanya, Jaliah Osman, 60-an, berkata, Sufiah pernah mengadu keluarganya kesempitan wang.
Lima hari lalu bekalan elektrik ke rumah itu dipotong kerana Kasmuri tidak dapat menjelaskan tunggakan bil sebanyak RM800.
“Kasmuri menggunakan sebahagian besar daripada wang yang dimiliki untuk membiayai tiga anaknya yang sedang menuntut di pusat pengajian tinggi,” kata Jaliah.

Jiran-jirannya percaya kebakaran pada pukul 3.30 pagi di rumah Kasmuri dan Sufiah di Lorong Osman Mohamad Salleh, Kampung Tengah di sini berpunca daripada api lilin.
Sejak lima hari lalu keluarga itu menggunakan api lilin untuk menerangi rumah.
Dalam kebakaran itu, Kasmuri, Sufiah serta dua anak lelaki mereka, Hishammuddin, 13 dan Izwanuddin, 9, dijumpai rentung bersama anak perempuan, Nurul Macella, 8.
Seorang lagi anak perempuan mangsa, Norfarhana Kasmuri, 15, terselamat kerana sempat melarikan diri melalui pintu depan dan kemudian menjerit meminta tolong.
Semasa kejadian, tiga daripada tujuh anak Kasmuri tidak berada di rumah kerana menuntut di tiga institusi pengajian tinggi tempatan iaitu anak sulungnya, Faezah, 20, di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang; Salahuddin, 19, pelajar jurusan kejuruteraan elektrik di Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM), Batu Pahat dan Juliana, 18, pelajar kolej matrikulasi di Pulau Pinang.
Menurut Jaliah, keluarga itu yang menyewa di situ sejak 12 tahun lalu memang rapat dengannya dan dianggap saudara sendiri.
Hamzah Md. Said, 52, dan isterinya Jim Alias, 55, yang berjiran dengan Kasmuri memberitahu, keluarga lelaki itu menggunakan lilin sejak lima hari lalu selepas bekalan elektrik di rumah tersebut dipotong.
‘‘Yang saya tahu mereka memang menggunakan api lilin sebab bekalan elektrik dipotong. Kenapa dipotong tidak pula saya tahu,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang di sini.
Hamzah merupakan jiran rapat kepada Kasmuri dan keluarganya yang terkorban dalam kebakaran rumah batu separuh papan itu.
Mayat Kasmuri ditemui dalam sebuah bilik air manakala Hishammuddin dijumpai di bilik lain yang terletak bersebelahan.
Mayat Sufiah pula ditemui bersama-sama dua lagi anaknya, Izwanuddin dan Nurul Macella, di pintu bahagian belakang rumah sewa tersebut. Turut musnah dalam kebakaran itu ialah sebuah kereta Wira Aeroback milik mangsa yang diletakkan di lorong sebelah kiri rumah tersebut.
Kebakaran itu disedari oleh Hamzah dan isterinya apabila mereka terdengar jeritan minta tolong daripada anak mangsa yang terselamat.
Sewaktu kejadian, Hamzah, isteri dan cucunya tidur di ruang tamu yang terletak di bahagian hadapan rumahnya yang berkembar dengan rumah Kasmuri yang terbakar.
Pegawai Operasi Bomba Kluang, Zahari Hassan memberitahu, bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.57 pagi dan tiba di tempat kejadian 48 minit kemudian.
Sementara itu, isteri Hamzah, Jim menyifatkan dia dan suaminya bagaikan diberi nyawa baru kerana terselamat dalam kejadian tersebut gara-gara mereka memilih untuk tidur di ruang tamu dan tidak di dalam bilik seperti kebiasaan.
Jim berkata, seandainya mereka tidur di bilik tidur tersebut dia dan suaminya mungkin turut terkorban bersama-sama keluarga Kasmuri dan Sufiah.
___________________________________
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.E-mail: online@utusan.com.my



4 beradik tidak mahu berpisah
Oleh: SUNARTI KIBAT

KLUANG 10 Ogos – Empat beradik yatim piatu yang hilang lima ahli keluarga termasuk ibu dan ayah dalam tragedi kebakaran rumah di Kampung Tengah di sini semalam bertekad tidak mahu dipisahkan.
Faezah Noor, anak sulung pasangan Allahyarham Kasmuri Jasman, 44, dan Sufiah Abdul Karim, 41, memberitahu, buat sementara waktu mereka akan tinggal bersama datuk sebelah ibunya, Abdul Karim Tahir, 78, di Kampung Belahan Tampok, Rengit dekat sini.
Bagaimanapun, menurut Faezah, adik perempuannya, Norfarhana, 15, yang terselamat dalam kebakaran yang mengorbankan bapa, ibu, dua adik lelaki dan seorang adik perempuannya perlu membuat pilihan sama ada mahu terus tinggal bersama datuknya.
Katanya, beliau ingin melihat dahulu perkembangan Norfarhana yang masih dalam keadaan trauma serta kini tidak mahu makan dan bercakap.
‘‘Adik saya ini (Norfarhana) yang bersekolah di Kluang dan akan mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) memberitahu, kalau boleh dia mahu tinggal berdekatan dengan saya.
“Ada kemungkinan kami akan memilih tinggal dengan mak cik kami di Putrajaya,” kata Faezah yang sedang menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Selangor.
Selain Faezah, dua lagi adiknya juga sedang menuntut di pusat pengajian tinggi tempatan iaitu Salahuddin, pelajar kejuruteraan elektrik di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Parit Raja dekat sini dan Juliana, 18, pelajar sebuah kolej matrikulasi di Pulau Pinang.
Keempat-empat adik-beradik itu yang berada di rumah datuk mereka di Rengit hari ini tidak putus-putus menerima kehadiran tetamu yang bersimpati dengan nasib mereka.
Dalam kebakaran yang berlaku pada pukul 3.30 pagi semalam, lima anggota keluarga mereka terkorban. Kebakaran itu dipercayai berpunca daripada api lilin.
Jiran-jiran keluarga itu mendakwa ibu mereka, Sufiah pernah mengadu keluarganya kesempitan kerana wang banyak dibelanjakan untuk membiayai pendidikan anak-anaknya.
Lima hari lalu bekalan elektrik ke rumah itu dipotong kerana suaminya, Kasmuri, tidak dapat menjelaskan tunggakan bil sebanyak RM800.
Sejak itu mereka sekeluarga menggunakan lilin dan api lilin itu dikatakan menjadi punca kebakaran tersebut.
Sementara itu, datuk anak-anak yatim itu, Abdul Karim, yang mempunyai lebih 50 orang cucu menyatakan kesanggupan untuk membela dan menyayangi cucu-cucunya walaupun dirinya sudah tua.
Beliau berkata, selama ini pun beliau amat mengambil berat kebajikan cucu-cucunya itu.
‘‘Saya juga tidak kisah jika mereka memilih untuk tinggal dengan anak perempuan saya di Putrajaya,” katanya.
Abdul Karim kelihatan tenang dengan kehilangan anak perempuannya, Sufiah, suaminya, Kasmuri, dan tiga cucunya dalam kebakaran itu. Beliau menganggap kejadian itu adalah ketentuan Allah dan ada hikmah di sebaliknya.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri Rengit, Ayub Jamil memberitahu Utusan Malaysia, Norfarhana, iaitu satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kebakaran itu, bersama tiga lagi jiran yang duduk bersebelahan rumahnya akan dijadikan anak angkat kawasan dewan undangan negeri tersebut.
Beliau berkata, Norfarhana yang menunjukkan kecemerlangan dalam akademik juga akan dibantu dari segi persekolahannya.
‘‘Saya akan berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Pembangunan Masyarakat negeri, Dr. Robiah Kosai mengenai bentuk bantuan yang sesuai diberikan kepada mereka,” katanya.
Sementara itu, Pembantu Hal Ehwal Islam, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Ferhan Mohd. Sungip ketika menyampaikan bantuan kecemasan wang tunai RM1,000 dan bahan-bahan makanan kepada mangsa terbabit memberitahu, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) akan mengadakan mesyuarat pada Isnin ini bagi membincangkan bentuk bantuan yang wajar diberikan kepada mereka.

© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.E-mail: online@utusan.com.my

Tiada ulasan: